Pengendali skuad bola sepak bawah 23 tahun negara, Brad Maloney akui kecewa selepas melihat anak buahnya tewas mengejut kepada pasukan Timor Leste pada Jumaat.
Beliau berkata kekalahan ini perlu diselidik dengan lebih mendalam dan perlu bangkit segera menjelang Sukan Sea Hanoi 2021 yang dijadualkan pertengahan bulan ini.
“Sebagai jurulatih, sudah pasti saya juga kecewa dengan kekalahan di tangan skuad B-23 Timor Leste. Tetapi kami perlu proaktif dan selidik dengan segera berhubung kekurangan atau kelemahan pasukan.
“Namun, saya kekal optimis bahawa pasukan muda negara ini masih memiliki potensi yang mana kekalahan itu kami harus cepat memberikan respons untuk persembahan akan datang.
“Ini bukan gambaran sebenar kekuatan kita kerana pasukan sedang dalam proses pembentukan. Kita masih dalam peringkat eksperimen apabila ramai lagi pemain belum melaporkan diri,” ujarnya.
Skuad bawah 23 tahun negara akan menghadapi Sukan Sea Hanoi 2021 bulan ini dengan beberapa pemain berprofil tinggi dipanggil ke dalam skuad kali ini seperti Hadi Fayyadh, Luqman Hakim Shamsudin dan penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim.
Malaysia akan memulakan kempen berdepan Thailand pada 7 Mei, Laos pada 11 Mei, Singapura pada 14 Mei dan Kemboja pada 16 Mei ini. Kesemua perlawanan akan dilangsugkan di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Vietnam.