Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengakui amat berbangga dengan kejayaan pemainnya mencipta sejarah layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Malah, pengendali dari Mexico itu menegaskan individu yang paling bertanggungjawab mencetus kejayaan buat skuad Harimau Selatan adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab itu.

Dia menganggap kerja keras semua individu dalam keluarga JDT untuk memastikan kelab itu terus meningkat ke tahap lebih tinggai adalah antara rahsia kejayaan mereka.

“Pasukan Korea (Ulsan Hyundai) tentunya gergasi Asia. Mereka mara ke separuh akhir pada 2021 dan juara (ACL) 2020. Kini kami singkirkan mereka dari kejohanan.

“JDT cuma sebuah kelab kecil dari Johor, jadi saya amat berbangga. Saya tidak melihatnya sebagai rekod, saya lihatnya sebagai detik sejarah buat bola sepak Johor dan sudah pasti JDT.

“Saya sebagai jurulatih dan pemain adalah pemain, tapi yang bertanggungjawab terhadap kejayaan ini adalah bos kami, TMJ,” katanya pada sidang media selepas perlawanan terakhir Kumpulan I berdepan Ulsan Hyundai, semalam.

JDT berjaya menundukkan gergasi Korea Selatan itu 2-1 buat kali kedua dalam Kumpulan I dengan jaringan sendiri Park Yong-Woo pada masa kecederaan memberikan kemenangan buat Harimau Selatan.

Kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan JDT menempah slot ke pusingan 16 terbaik selaku juara kumpulan selepas mengumpul 13 mata, dua mata mengatasi Kawasaki Frontale di kedudukan kedua.

Sementara itu, ketua jurulatih Ulsan Hyundai, Hong Myung Bo pula meluahkan rasa kecewa selepas pasukannya terkandas di peringkat kumpulan.

“Kami cuma ada satu pilihan iaitu memenangi perlawanan. Tapi yang berlalu sudah berlalu dan pemain sudah melakukan yang terbaik.

“Pada separuh masa kedua di minit-minit akhir kami berusaha dengan mengubah formasi, namun keputusannya kami gagal,” katanya.

Similar Posts